Tuesday, December 11, 2007

Hasrat Berpindah Tidak Kesampaian

Oleh: AZIAN AZIZ
KUALA SELANGOR 8 Dis. – Pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel), Abd. Rahman Rahmat , 38, yang mati selepas cedera parah ditikam dalam kejadian pecah masuk di rumah sewanya di Simpang Tiga, Ijok di sini semalam berhasrat membawa keluarganya berpindah pada pertengahan bulan ini. Bagaimanapun hasrat Allahyarham yang baru lapan bulan menyewa di rumah batu setingkat empat bilik itu dengan bayaran RM400 sebulan tidak kesampaian akibat kejadian malang itu menimpanya.

Allahyarham yang merupakan pensyarah teknologi maklumat menyewa di rumah tersebut sejak Mac lalu selepas bertukar dari tempat kerja lamanya di Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan Selangor (INPENS), Klang ke Unisel, Batang Berjuntai. Menurut isterinya, Halimah Tairin, 29, mereka sekeluarga telah membungkus semua barang dalam rumah dan bersedia untuk berpindah kerana tuan rumah meminta mereka mengosongkan rumah tersebut sebelum hujung tahun.

“Tuan rumah ingin duduk sendiri di rumahnya jadi kami meminta tempoh sementara mendapat rumah sewa yang baru. “Selepas suami saya berjaya mendapat rumah sewa berdekatan dengan tempat tinggal kami sekarang, saya mula membungkus barang-barang kami dan menunggu untuk berpindah pada 15 Disember ini. “Tetapi semuanya terpaksa dibatalkan dan selepas ini saya dan anak-anak mungkin akan berpindah ke rumah ibu saya di Bukit Badong, Ijok atau ke rumah mertua untuk sementara,” katanya yang tidak bekerja sejak berkahwin sembilan tahun lalu.

Halimah yang masih terkejut dengan kejadian malang yang menimpa suaminya semalam berkata, dia bersyukur kerana anak-anaknya tidak dicederakan oleh lelaki-lelaki itu. Tambahnya yang mempunyai tiga anak lelaki dan dua perempuan berusia antara lapan tahun hingga 2 bulan, barang-barang berharga dan wang tunai lain di dalam rumahnya juga tidak diambil kecuali telefon bimbit dan beg tangan miliknya yang berisi wang RM50.

“Saya hanya kesal kenapa mereka cederakan suami saya hanya kerana inginkan wang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi semalam, Abd. Rahman, 38, mati selepas cedera ditikam di bahagian leher dan tangan semasa bergelut dengan salah seorang lelaki yang memecah masuk rumah sewanya. Abd. Rahman meninggal dunia semasa dalam perjalanan menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. Dalam kejadian itu, isteri dan lima anaknya yang sedang tidur tidak dicederakan oleh kesemua suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Ibrahim Chin ketika dihubungi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Bagaimanapun setakat ini kita masih belum melakukan sebarang tangkapan,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Naib Canselor Unisel, Datuk Prof. Dr. Mohd. Razali Agus berkata, universiti itul akan menyalurkan bantuan kebajikan terhadap keluarga Allahyarham Abd. Rahman. Beliau berkata, bantuan yang akan berbentuk keperluan asas termasuk pendidikan kepada lima orang anak Allahyarham bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga itu. Malah, pihak Unisel katanya, turut mempercepatkan tuntutan insurans mangsa yang merupakan salah satu bentuk manfaat perkhidmatan yang ditawarkan kepada Allahyarham sebagai salah seorang pensyarah di universiti itu.
"Kita bersimpati terhadap apa yang menimpa Allahyarham dan berusaha untuk membantu keluarganya manakala yang lain kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian itu. "Walaupun Allahyarham baru berkhidmat di Unisel dalam tempoh sembilan bulan, kejadian ini merupakan satu kehilangan besar kepada universiti ini terutamanya dalam pembangunan bidang teknologi maklumat. "Ini kerana, Allahyarham merupakan seorang pakar dalam bidang tersebut dan merupakan seorang yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan," katanya di sini hari ini.

No comments:

Search This Blog