JARINGAN P Gunalan dan Mohd Amri Yahyah menyaksikan Selangor pulang dengan tiga mata berharga apabila menewaskan Negeri Sembilan-Naza, 2-0 dalam perlawanan pembuka tirai Liga Super 2007-2008 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam. Gunalan memanfaatkan peluang pada minit ke-50 apabila berjaya menolak bola hantaran lintang Akmal Rizal Rakhli ke pintu gol lawan ketika berlaku kesilapan pertahanan tuan rumah untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Harun.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat anak buah Dollah Salleh selepas separuh masa pertama yang menyaksikan pemain skuad Merah Kuning tenggelam dalam keghairahan tuan rumah memburu gol. Namun, Amri menambah derita anak buah Wan Jamak Wan Hassan apabila jaringannya pada minit ke-65 melengkapkan kemenangan bergaya Selangor pada aksi sulung kedua-dua pasukan.
Walaupun Selangor berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti, namun tendangan diambil Akmal pada minit ke-77 tidak menepati sasaran.
Sepakan itu diperoleh berpunca kesilapan ketua pasukan, Khairul Anuar Baharom yang dilihat melakukan kekasaran ke atas Amri dalam kotak penalti sebelum pemain berpengalaman itu diarah keluar padang akibat dilayang kad merah.
Skuad Hoben Jang Hoben menurunkan tiga pemain import mereka iaitu Mohd Lamin Conteh Al-Hidayah dan Usmane Sharif di bahagian depan manakala Marian Juhas mengemudi benteng pertahanan bersama Khairul.Mereka mendapat sokongan padu 5,000 penyokong, dilihat menguasai saingan separuh masa pertama dan memperoleh banyak peluang tetapi gagal dimanfaatkan jentera serangan pasukan. Tidak kurang enam peluang gagal dimanfaatkan, antaranya pada minit ke-46, Usmane gagal menyepak kemas bola lorongan Mohd Lamin dalam kotak penalti walaupun dia hanya berdepan penjaga gol Selangor, Megat Amir Faizal.
Bagi Wan Jamak, dia kecewa dengan keputusan perlawanan namun tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya. Dia mengakui kegagalan memanfaatkan peluang menyebabkan sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian walaupun bermain 10 orang pada 15 minit terakhir perlawanan namun mereka berjaya mengekalkan tempo permainan."Kekalahan ini menjadi pengajaran buat pemain supaya memperbaiki kesilapan untuk perlawanan berikutnya demi memastikan Negeri Sembilan bangkit dan meraih kemenangan," katanya.
Bagi Dollah pula, latihan di Australia nyata berkesan dalam memantapkan persembahan anak buahnya."Pada separuh masa pertama saya akui pemain seolah-olah masih mencari rentak menyebabkan aksi mereka kurang menyerlah, namun mereka berjaya memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua," katanya.