Thursday, February 26, 2009

APABILA UMNO TERLUPA "KIDNAP" SPEAKER PERAK

Seseorang cenderung melakukan kesilapan apabila membuat kerja secara gopoh gapah. Itulah yang berlaku kepada Umno. Kegopohan parti gelojoh tersebut kini meletakkan nyawa “kerajaan haram” BN di Perak seperti nyawa-nyawa ikan.

Semuanya bermula apabila Umno terlupa speaker. Umno hanya menumpukan bagaimana nak “menculik” tiga orang bekas Adun yang melompat dan bagaimana nak mengusir Dato Seri Nizar sebagai MB Pakatan Rakyat ( PR ) tanpa menyedari bahawa orang yang mereka patut “culik” terlebih dahulu adalah Speaker DUN Negeri Perak.

Ada kemungkinan Umno terlepas pandang kepentingan peranan Speaker di dalam rampasan kuasa yang bersifat non military ( bukan ketenteraan ) ini. Rampasan kuasa bersenjata atau secara ketenteraan tidak memerlukan speaker Parlimen atau DUN ditawan. Dalam rampasan kuasa yang melibatkan “penculikan” ahli –ahli ADUN seperti di Perak kegagalan menawan speaker adalah suatu risiko yang besar. Dan kini Umno mula menanggung keperitannya..

Mungkin tidak keterlaluan kalau kita katakan Umno mungkin berpendapat apalah ada sangat pada batang tubuh speaker. Umno mungkin menganggap speaker hanya seperti pengerusi tetap Umno – tiada kuasa yang penting dan substantif..

Kini setelah speaker menggantung Dato’ Dr. Zambry dan enam ADUN BN yang lain untuk tempoh 18 bulan ( untuk Zanbry ) dan 12 bulan ( untuk 6 exco ) barulah Umno mula tercungap-cungap. Zambri terpaksa meminta talian hayat daripada Abdullah Badawi. Abdullah Badawi yang juga tercungap-cungap mencari bantuan tersasul meminta Zambri membuat laporan polis ke atas speaker. Zambri sendiri, saya percaya, agak terkejut dengan saranan Abdullah tersebut. Bagaimanapun memandangkan Umno diajar untuk memberikan ketaatan membuta tuli pada pemimpin mereka saranan tidak masuk akal Abdullah terpaksa juga diikuti Maka 19 laporan polis dibuat ke atas speaker Perak.

Polis yang sudah dibebani dengan masalah jenayah yang menghantui mereka kini dengan tidak semena-mena diminta pula siasat keputusan speaker. Ini mungkin kali pertama berlaku dalam dunia bertamadun polis diminta siasat keputusan seorang speaker DUN. Polis sendiri pun saya percaya bingung kenapakah mereka diminta siasat keputusan speaker. Polis pun maklum bahawa keputusan speaker melibatkan isu Perlembagaan dan Undang-Undang Pentadbiran. Kalau nak memahami Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah pun polis menghadapi masalah kenapakah Abdullah tambah lagi masalah mereka kini dengan diminta mereka siasat satu kes Perlembagaan.

Zambri pun tahu bahawa polis tidak boleh sama sekali mengganggu speaker dalam hal ini. Berdasarkan undang-undang yang BN gubal sendiri speaker adalah kebal. Polis tidak boleh ganggu termasuk menyoal siasat speaker. Mendakwa jauh sekali.

Kalau Abdulllah ambil masa sikit mendapatkan nasihat dari pakar undang-undang sudah tentu dia tahu bahawa berdasarkan Enakmen Dewan Undangan Negeri ( Hak Istimewa ) 1959 [ Legislative Assembly (Privileges) Enactment 1959 ] dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan jelas kedua-dua undang-undang tersebut memberikan kekebalan secara mutlak kepada speaker dari sebarang prosiding jenayah dan sivil .

Kekebalan speaker dari sebarang prosiding di Mahkamah boleh dikatakan diterima di seluruh dunia termasuk di negara dunia ketiga seperti Papua New Guinea. Untuk Umno saya cadangkan bacalah kes berikut.

Di dalam kes James Eki Mopio v Speaker of Parliament [1977] PNGLR 420 fakta kesnya adalah berkaitan dengan isu pelantikan Mr. Michael Somare sebagai Perdana Menteri Papua New Guinea selepas pilihanraya umum negara tersebut . Pihak Plaintif iaitu. Mr. James Eki Mopio yang juga ahli Parlimen mendakwa Speaker Parlimen telah gagal mematuhi seksyen 142 ( 4 ) Perlembagaan Papua New Guinea.

Mr. Mopio berhujah bahawa seksyen 142 ( 4 ) tersebut memperuntukkan berkaitan penjalanan dewan Parlimen sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil . Beliau mendakwa pelantikan Perdana Menteri hendaklah dibuat sehari selepas mesyuarat Parlimen dipanggil dan memandankan speaker Parlimen gagal mematuhi seksyen tersebut maka pelantikan Perdana Menteri adalah tidak sah.

Mahkamah Agung Papua New Guinea yang menolak hujah Mr Mopio tersebut memutuskan bahawa kes ini adalah berkaitan dengan penjalanan urusan Parlimen dan tatacaranya (“ the conduct of the business of the Parliament and its procedure. ) Oleh itu Mahkamah memutuskan memandangkan isu di Mahkamah melibatkan isu sama ada tatacara Parlimen telah dipatuhi atau tidak dan juga isu kebebasan prosiding Parlimen serta fungsi dan peranan Speaker maka Mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendegar kes tersebut.

Zambri nampaknya dah mula sedar bahawa saranan Abdullah untuk beliau membuat laporan polis menyebabkan beliau menjadi bahan ketawa di kalangan masyarakat yang celik undang-undang . Maka beliau kini terpaksa mendapatkan nasihat Peguam Diraja ( QC ) di London. Satu lagi bukti UMNO masih bermentaliti penjajah . Ia juiga satu bukti pembaziran wang yang nyata semata-mata demi mempertahankan kuasa yang dirampas dari orang lain secara haram.

Suatu yang menarik di dalam kes di Perak ini adalah meskipun Kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan namun speaker DUN Perak masih dikuasai oleh PR. Yang lebih manarik tiada siapa yang boleh memecat speaker hatta Y.M Tuanku Sultan. Ini kerana speaker tidak dilantik oleh Sultan. Ia dilantik oleh DUN. Maka DUN juga sahaja yang diberi kuasa untuk memecat beliau melainkan beliau meletakkan jawatan atau kehilangan kelayakan sebagai seorang ADUN.

Memandangkan speaker tidak hilang jawatan maka kuasanya juga tidak hilang. Kuasanya kekal seperti sebelum Kerajaan PR dirampas secara haram . Apabila Kerajaan PR dirampas secara haram kini speaker pula bertindak balas dengan mengharamkan Zambri dan enam yang lain masuk ke dalam DUN. Tiga ADUN yang melompat sudah awal-awal lagi diharamkan oleh Speaker masuk ke DUN kerana mereka bukan lagi ADUN disebabkan perletakkan jawatan mereka adalah sah di bawah Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak. Kalau pun mereka masih ADUN, tiga mahkluk yang melompat tersebut adalah ADUN SPR .

Jelas kini Umno dah mula terasa bodoh kerana bertindak secara gopoh gapah. Jika Umno boleh jatuhkan Nizar dan Kerajaan PR Perak dengan berselindung di balik Sultan maka tidak mustahil Kerajaan haram BN akan kembali tersungkur dengan kuasa seorang speaker sahaja. posted by hanipamaidin @ 1:29 AM





Wednesday, February 25, 2009

ULAT GONGGOK GERGASI



Kenyataan Akhbar Sultan Selangor

Berikut ialah kenyataan penuh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong, yang dikeluarkan oleh Datuk Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada hari Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada Baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang melibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan kepada saya untuk memaklumkan bahawa Baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor dalam hal berkenaan isu Yang Berhormat Elizabeth Wong kerana ia masih dalam siasatan pihak polis dan melibatkan kedudukan Yang Berhormat Elizabeth Wong dalam politik. Sebagai Sultan Selangor, Baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik (above politic).

Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya. Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan ‘privacy’ individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang. Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.

Kepada Yang Berhormat Elizabeth Wong, Baginda melahirkan rasa sedih dan simpati di atas insiden yang telah berlaku dan berharap agar beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini dan meneruskan kehidupan seharian beliau.

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani

Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor.

Thursday, February 19, 2009

20 kes rasuah Khir Toyo

1. Meluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings.

Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntungan minimum RM20 juta.

2. Meluluskan tanah 400 ekar di Shah Alam, pada 20 Disember 2000 kepada empat syarikat berbeza (Layar Kekal/ Tirai Gemilang, Samasys, Usahasewa Sdn Bhd), tetapi seorang nama pengarahnya (Samsuri Rahmat) hadir dalam semua syarikat tersebut, iaitu seolah-olah Khir meluluskan tanah berpontensi tinggi itu kepada seorang sahaja.

Nilai tanah di kawasan berkenaan boleh mencapai RM1 juta untuk satu ekar. Samsuri boleh untung minimum RM300 juta dari tanah tersebut.

3. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20 Nov. 2000 dan 4 Julai 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan yang mendapat 100 ekar setiap orang, Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

4. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun (Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah, Azril Yusri).Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum Exco meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

5. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu.Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

6. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat, 50%. Khir berbohong di Dun Selangor pada 31 Oktober 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

7. Khir memberi sumbangan peribadinya, berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi di kawasannya, di Sungai Panjang pada 25 Disember 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau, melalui akhbar Malay Mail pada 15 Januari 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn Bhd sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

8. Pada 17-18 April 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd, seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

9.Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

10. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa untung JAKS?

11. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.

12. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

13. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

14. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat akujanji yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.

15. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

16. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke 25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Merc S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.

17. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat exco dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang.”

18. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

19. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang kerajaan negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1 Feb, 16 Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak, buat kroni dan suku-sakatnya.

20. Mengeksploit mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran Exco lain. Mesyuarat Exco esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas penasihat undang-undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat Exco.

Wednesday, February 11, 2009

SULTAN MAHMUD YANG DIJULANG MATI TERJULANG

Kesultanan Perak adalah merupakan waris daripada kesultanan Melaka melalui Sultan Muzaffar Shah I, iaitu anak kepada Sultan Mahmud. Sejarah Sultan Mahmud sebagai pemerintah Melaka telah diketahui umum berada dalam kelemahan sehingga akhirnya Melaka tumbang dijajah oleh Portugis.

Salah satu kelemahan Sultan Mahmud yang paling ketara ialah beliau dipengaruhi oleh mereka yang disekelilingnya dalam membuat keputusan. Menurut lagenda sejarah, beliau telah membunuh Bendaharanya Tun Mutahir atas hasutan pembesar disekelilingnya.

Malah beliau telah membunuh anaknya sendiri Sultan Ahmad Shah yang telah mengambil alih takhta selepas pembunuhan Tun Mutahir. Kisah sejarah seperti ini sememangnya tidak perlu diungkit, tetapi perlu diambil pengajaran oleh Istana Perak.

Dalam zaman moden ini, sistem pemerintahan Malaysia telah bertukar kepada sistem demokrasi dan mengekalkan intitusi Raja yang terikat dengan perlembagaan. Dari segi perlembagaan kuasa Raja adalah diimbangi oleh kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar. Mereka yang berada di sekeliling Raja atau Sultan dari kalangan pembesar-pembesar Istana hanyalah berkaitan dengan urusan istiadat dan pertabalan Raja atau Sultan yang baru.

Dalam hal ehwal mentadbir negeri, Raja atau Sultan harus mendengar nasihat daripada Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Zaman Raja atau Sultan mendengar nasihat daripada pembesar Istana telah berlalu.

Perkara inilah yang sedang berlaku di Perak. Sultan telah membelakangkan nasihat Menteri Besar yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat sebaliknya mendengar pandangan pembesar-pembesar istana. Di kalangan pembesar-pembesar Istana Perak itu terdapat mereka yang mempunyai kepentingan diri atau kepentingan parti.

Salah seorang daripadanya ialah Annuar Zaini yang diperkatakan oleh banyak pihak sebagai salah seorang perancang rampasan kuasa yang ada pada hari ini.

Beliaulah yang dikatakan banyak mempengaruhi Istana Perak dalam membuat keputusan terutama yang berkaitan dengan senario politik negeri Perak. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat mulai ragu dengan pendirian istana yang sepatutnya tidak berpihak.

Tidak diketahui mengapa Annuar Zaini ini begitu istimewa di Istana Perak. Beliau bukanlah keturunan diraja. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang pembesar Istana Perak dan dalam Sambutan Jubli Perak baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan sebagai salah seorang yang begitu banyak jasanya kepada Sultan Azlan. Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri.

Sehingga hari ini ramai rakyat jelata begitu tertanya apakah tuah yang ada pada Annuar Zaini ini sehingga beliau begitu dekat di hati Sultan Azlan, malah lebih diutamakan untuk mendapat nasihat berbanding Menteri Besar yang diberi mandat oleh rakyat.

Keterlibatan Annuar Zaini dalam perancangan rampasan kuasa ini sememangnya menjadi percakapan umum, tetapi ia semakin disahkan dengan penggunaan nama Raja Muda (Raja Nazrin) semasa menculik Nasarudin Adun Bota.

Sebagaimana maklumat yang ditulis oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Misbahul Munir, beliau dimaklumkan oleh isteri Adun Bota tersebut dua orang lelaki telah datang ke rumahnya untuk menjemput beliau mengadap Raja Muda. Siapakah yang sebegitu berani mendakwa dirinya menjadi wakil kepada Raja Muda.

Sudah pasti mereka bertindak dengan dibelakangi oleh seseorang yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar Istana. Tidak mustahil juga perkara tersebut berlaku kepada Adun DAP dari Jelapang. Kedua-dua mereka kelihatan terpinga-pinga semasa Najib mengumumkan rampasan kuasa.

Ketika PAS kalah di negeri Terengganu dalam PRU 2004 yang lalu, Annuar Zaini ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS yang mengaku kalah, beliau menyatakan "baguslah mengaku kalah tetapi jangan pula selepas ini mengacau pentadbiran Terengganu".

Sepatutnya kenyataan beliau itu diterjemahkan dalam konteks Negeri Perak. Beliau sepatutnya mengaku kalah dan tidak melakukan seribu satu onar dengan menggunakan nama Istana Perak mengacau pentadbiran Negeri Perak. Tindakan beliau untuk merampas teraju Kerajaan Negeri dengan cara yang jijik dan memualkan ini akan memalitkan sejarah hitam kepada Kesultanan Perak dan leluhurnya Kesultanan Melaka yang akan sekali lagi tercatat dalam sejarah.

Plot rampasan kuasa ini walaupun dilakukan begitu licik, tetapi mudah diketahui oleh rakyat Perak bahkan rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai alasan digunakan melalui media-media massa, rakyat sekarang sudah mula celik.

Rakyat sekarang bukan seperti zaman Sultan Mahmud dahulu, sebaliknya mereka mendapat berita secara live mendahului propaganda media-media massa. Rakyat mula persoalkan bagaimana boleh berlaku umpanan rasuah terhadap exco, bagaimana exco-exco boleh hilang sehingga tidak diketahui oleh keluarganya sendiri, bagaimana begitu bodoh mereka mengemukakan alasan sakit tulang belakang, bagaimana Adun Bota diculik dan lain-lain yang diketahui oleh rakyat terlebih dahulu sebelum media menyiarkan.

Hasil daripada perancangan yang jijik dan mual itu, 96 peratus rakyat telah melihat bahawa BN akan menerima padah dalam PRU akan datang sebagaimana undian NTV7.

Tokoh-tokoh vateran Umno sendiri seperti Dr Mahathir dan Ku Li melahirkan rasa jijik dengan rampasan kuasa ini.

Yang paling jelas Pak Lah dan Najib sendiri sedar bahawa rakyat sangat jijik dengan permainan kotor ini sehingga mereka tidak sanggup untuk kembali ke medan tempur sebagaimana tuntuntan Menteri Besar Perak untuk membubarkan DUN.

Tindakan Annuar Zaini bersama kumpulannya merancang rampasan kuasa ini sebenarnya akan memburukkan lagi imej UMNO yang telah ditolak rakyat dalam dua pilihanraya kecil yang lalu.

Bagaimanapun tindakan itu turut memalitkan nama baik Istana Perak. Ketika seluruh negara tertumpu kepada susuk tubuh Sultan Azlan sama ada membubarkan DUN atau tidak, baginda bertindak menyempurnakan rancangan tersebut. Ketika rayuan mencurah-curah dalam laman web Istana Perak supaya memberi semula mandat kepada rakyat, baginda mencurahkan balik rayuan itu ke luar jendela Istana Perak.

Paling mengejutkan Baginda bertindak secara tidak cermat dengan meminta Menteri Besar meletakkan jawatan. Seharusnya Baginda memilih jalan yang lebih sederhana meminta Menteri Besar mengadakan sidang tergempar DUN supaya boleh diusulkan undi tidak percaya.

Sudah menjadi rahsia umum Baginda tidak begitu menyenangi Menteri Besar disebabkan beberapa isu yang sampai kepada Baginda melalui jalan pembesar-pembesar Istana.

Boleh dikatakan kebanyakan pembesar-pembesar Istana Perak itu cenderung kepada Umno termasuklah Annuar Zaini, justeru tidak menghairankan jika khabar yang disampaikan kepada Sultan Perak melalui jalan pembesar-pembesar negeri ini tentang Menteri Besar adalah negatif.

Semua rakyat tahu bagaimana Menteri Besar begitu taat dengan Sultan Perak, tetapi Baginda di kelilingi oleh pembesar-pembesar Istana Perak yang tidak sebulu dengan Menteri Besar.

Di sini kelihatan Baginda berada dalam kondisi sebagaimana luluhur Baginda Sultan Mahmud dahulu.

Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda yang sepatutnya diperkukuhkan dengan keputusan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Perak telah dicemari dengan nasihat-nasihat salah oleh Pembesar Istana.

Keputusan Baginda dilihat seperti satu 'finishing' kepada satu konspirasi rampasan kuasa yang didakwa oleh PR dirancang oleh salah seorang pembesar baginda yang bernama Annuar Zaini.

Sejarah Sultan Mahmud yang memerintah hampir 30 tahun termasuk membunuh Bendahara Tun Mutahir anakandanya sendiri seharusnya tidak berulang. Sebagaimana Tun Mutahir dibunuh hasil hasutan pembesar-pembesar Istana, maka Istana Perak hari ini perlu menyingkirkan pembesar-pembesar yang seumpama itu kerana merekalah yang akan memalitkan sejarah hitam Kesultanan Perak.

- telaahpolitik.blogspot.com

Tuesday, February 10, 2009

Lakaran sejarah ini merupakan cebisan petikan buku Steps Towards Mardhatillah (Langkah-Langkah Menuju Keredhaan Allah) yang masih lagi dalam proses penyusunan fakta dan bakal diterbitkan kelak. Setelah mendapat kebenaran lisan daripada penulis buku ini, mantan setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, al-Ustaz Solahuddin bin Abdullah, saya mengambil kesempatan untuk menyiarkan sebahagian sudutannya sebagai fakta ilmiah yang wajar diberi perhatian oleh sekalian rakyat Malaysia yang mengaku sentiasa peka dengan pergolakkan politik tanahair dari masa ke semasa.


Berpaling tadah berpatah balik atau turn about about turn ialah peristiwa yang berlaku ekoran usaha memujuk beberapa orang ADUN PAS Kelantan untuk menyertai UMNO. Ia dijalankan oleh pihak berkenaan tidak lama sesudah selesai pilihan raya kecil kawasan Bachok Utara pada bulan April 1968. Usaha-usaha yang pada awalnya itu dijalankan secara berbisik-bisik akhirnya tersebar luas pada sekitar bukan Julai dan Ogos 1968.


Majalah Siaran PAS Kelantan[1] melalui keluarannya Jilid III Biln6/8, Jun/Ogos 1968 menyiarkan berita berikut di muka depannya, dengan tajuk: “WAKIL-WAKIL RAKYAT DAKWA SURAT KHABAR”

Kota Bharu,4.8.1968 Beberapa orang Ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat PAS Kelantan yang dilibatkan nama mereka menyertai UMNO oleh akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia telah menyerahkan kepada peguam masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut. Wakil-wakil rakyat itu ialah;Dato’ Haji Ishak Lotfi, Encik Abdul Rahman Awang Sulong,Tuan Guru Haji Daud bin Yusoff, Ustaz Wan Hasan b.Wan Daud, Hj.Wan Yusoff b.Wan Yaakob, Ustaz Abdul Kadir b.Mat Sa’ad dan Tengku Zaid b.Tengku Ahmad kecua l i Ustaz Abu Bakar Hamzah yang sekarang sedang melawat Timur Tengah.


Dalam pertemuan dengan pemberita-pemberita akhbar di rumah Menter Besar Kelantan, di Kota Bharu hari ini, wakil-wakil rakyat yang berkenaan telah menyatakan bahawa perbuatan akhbar berkenaan melibatkan dan menyeret nama mereka seperti itu adalah terang-terang menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik mereka di mata orang ramai. Yang demikian mereka telah menyerahkan kepada peguam masing-masing untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar yang menyiarkan fitnah ke atas diri mereka. Nampaknya akhbar-akhbar memainkan peranan besar juga dalam cita-cita nak menumbangkan Kerajaan PAS. Waspadalah terhadap berita-berita yang memburukkan PAS dalam akhbar-akhbar . Jangan lekas mempercayainya.


Manakala majalah Bulan Bintang[2] menyiarkan berita mengenai kenyataan akhbar Dato’ Mohd. Asri menyentuh isu penyelewengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan;

“Apa yang diberita oleh Utusan Malaysia hari ini 2.8.1968 mengenai apa yang dikatakan ucapan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan. Yang sebenarnya Pesuruhjaya PAS itu tidaklah mengesahkan tentang perletakkan jawatan oleh 4 orang Ahli Dewan Undangan Negeri PAS itu. Cuma apa yang diucapkan oleh beliau hanya sekadar menerangkan bagaimana kegiatan Perikatan hendak menumbangkan Kerajaan PAS sejak dari dulu dan bagaimana keadaan beberapa orang ahli itu. Khabarnya mereka sekarang ini berada di Kuala Lumpur”…


“Memang menjadi rahsia umum tentang usaha-usaha Perikatan Kelantan hendak menumbangkan Kerajaan PAS mengikut gaya mereka menumbangkan Kerajaan PAS Terengganu dahulu. Semenjak akhir-akhir ini khabar-khabar angin bertiup begitu kencang tentang beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri PAS telah ditarik atau sedang ditarik untuk menyeleweng. Dalam seminggu ini 3 orang Ahli Dewan itu telah pergi ke Kuala Lumpur dan seorang lagi telah diambil oleh Polis pada hari Jumaat yang lepas. Dan akhirnya diketahui umum jua bahawa dia telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama dengan 3 orang ahli PAS itu”.


Walaubagaimanapun sehingga saat ini mereka belum lagi membuat pengumuman atau perisytiharan rasmi keluar dari PAS. Soalnya hanya bergantung kepada jiwa mereka sendiri sama ada mereka berupaya atau tidak mengatasi tekanan-tekanan terhadap jiwa mereka. Nampaknya dalam sehari dua ini pihak Perikatan begitu bernafsu (gelojoh) untuk merebut kuasa di Kelantan. Tetapi saya suka memberitahu kepada pemimpin-pemimpin mereka supaya berusaha secara terhormat sesuai dengan kehormatan yang ada pada diri mereka untuk mengambil kembali negeri Kelantan ini. Tunggulah saat yang dihalalkan oleh perlembagaan pilihanraya umum tahun hadapan”.


Berilah peluang kepada rakyat untuk memilih. Kalau rakyat memilih PAS janganlah mereka berkecil hati dan janganlah membalas dendam terhadap rakyat. Dan mereka hendaklah bersabar menerima hukum demokrasi. Tapi kalau hukum demokrasi itu mereka injak-injak kerana merasa diri mereka begitu berkuasa dan begitu kuat, itu terserahlah kepada mereka. Tetapi mereka jangan lupa bahawa tiap-tiap perkara yang batil itu ada batas waktunya. Saya bimbang takut mereka tidak sanggup menerima akibatnya kelak….”


“Kepada seluruh ahli dan penyokong-penyokong PAS terutama di Negeri Kelantan, saya berseru supaya sentiasa tetap teguh imannya di dalam menghadapi sebarang percubaan. Percayalah doa orang kena zalim selamanya dimakbulkan Tuhan sebab tidak ada hijab antara Allah dan mereka[3]..


Menyorot peristiwa bersejarah ini, mantan yang diPertua Agung PAS itu turut menyatakan dalam bukunya[4] seperti berikut:

Antara banyak riwayat tentang pertentangan dan pertarungan antara PAS dan UMNO(Perikatan) maka riwayat tentang kejadian lompat melompat atau turn about dan about turn adalah begitu menarik sekali. Dunia politik menjadi gempar dan masing-masing pihak menghadapi peristiwa itu dengan penuh debaran. Golongan PAS tentunya menunggu dengan penuh kesabaran bercampur kebimbangan. Mungkinkah kerajaan PAS Kelantan akan tumbang seperti tumbangannya kerajaan PAS Terengganu dalam tahun 1960(1961); sedangkan golongan UMNO juga dengan penuh debaran bercampur emosi yang memuncak mempunyai harapan yang menjulang untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan seperti tumbangnya kerajaan PAS Terengganu.


“Peristiwa bersejarah itu telah digelar sebagai turn about, iaitu nama gelaran peristiwa berkenaan yang sangar popular pada masa itu. Untuk memudahkan peristiwa yang berlaku dalam tahun 1968 itu, maka saya cuba butirkan rangkaian peristiwa tersebut sedaya yang boleh.


“Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang terlibat dengan peristiwa itu ialah: Encik Saufi bin Idris, Ustaz Abdullah bin Haji Yusoff(Speaker atau Yang diPertua Dewan Undangan Negeri Kelantan), Ustaz AbdulRahman Salleh(ahli Exco Negeri Kelantan),Encik Yusoff Abdul Latiff (Ahli Exco Negeri Kelantan) Encik Omar bin Muhammad. Kesemua mereka, kecuali yang kelima sudah pun meninggal dunia”…


“Pada suatu hari Jumaat, telah berlaku satu kejadian yang menggemparkan dan mereka yang tersebut ini telah ditahan oleh polis di beberapa sekatan jalan raya. Kemudian mereka dibawa ke Kuala Lumpur. Di sana mereka ditempatkan di sebuah rumah banglo di Jalan Pekeliling (kini Jalan Tun Razak), berhampiran dengan sebuah mes pegawai polis. Khabarnya selama lebih kurang sebulan di dalam tahanan, mereka sering didatangi oleh orang-orang tertentu. Mereka telah dipujuk dengan janji berbagai-bagai rupa supaya meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Mereka didatangi oleh pegawai-pegawai kerajaan serta diikuti pula oleh orang-orang politik termasuk tokoh-tokoh penting UMNO ketika itu”…


Jelas sekali apabila UMNO mengalami kekalahan pertama setelah merdeka (1959) UMNO Kelantan telah mengalami satu kemelut yang hebat, sehingga UMNO Pusat terpaksa mengambil alih pimpinan UMNO Kelantan. Timbalan Presiden UMNO merangkapTimbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, telah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan”…


Sebelum peristiwa turn about dan about turn berlaku, kejadian yang merupakan semacam konfrontasi antara UMNO dan PAS dalam usaha untuk mencari pengaruh di Kelantan berlaku. Antara cerita dan kejadian yang paling sedih ialah kejadian yang berlaku dalam bulan Julai 1967, seorang daripada wakil rakyat PAS ialah Abdul Samad Gul Ahmad Mianji(Allahyarham) telah terkorban dalam satu tragedi pukul curi sewaktu beliau sedang membuka pintu keretanya setelah selesai upacara Maulidur Rasul di Bangunan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.


Dalam halaman 73 Dato` Mohd. Asri menulis lagi:


Kita kembali semula kepada cerita penahanan lima orang wakil rakyat PAS yang telah dibawa ke Kuala Lumpur. Mengikut wakil rakyat yang ditahan itu, kononnya mereka telah dijanjikan dengan hadiah wang. Sekiranya mereka menolak, mereka diugut dengan berbagai-bagai ancaman termasuklah tahanan di bawah ISA dan sebagainya”…


Sesudah lebih kurang dua minggu berada di Kuala Lumpur, pengawasan atas mereka agak longgar kerana mereka telah bersetuju untuk menerima tawaran tersebut. Hasil daripada kelonggaran tersebut, mereka telah mengambil kesempatan menghubungi Kelantan dengan telefon. Salah seorang tokoh PAS yang selalu dihubungi oleh mereka ialah Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim( bekas ketua PAS Pasir Puteh, bekas ahli Exco dan bekas Ahli Parlimen). Melalui telefon itu mereka memberitahu bahawa mereka telah bersetuju untuk membuat pengisytiharan keluar dari PAS dan menyertai UMNO”….


Manakala tiba hari dan tarikh yang ditetapkan radio dan teievisyen pun tiba untuk membuat liputan khas tentang keputusan mereka masuk UMNO. Malah akhbar-akhbar pun tidak mengsia-siakan kesempatan yang baik itu. Maka semua akhbar menyiarkan peristiwa tersebut di muka hadapan. Berita yang tersebar luas itu begitu menggemparkan masyarakat. Topik perbualan di kedai kopi tidak lain dari berita yang menggemparkan tersebut. Banyak orang yang menganggap bahawa kerajaan PAS akhirnya akan kecundang jua. Kad jemputan untuk memerhati mengikuti Persidangan Dewan Negeri telah ditempah dengan banyaknya oleh penyokong kedua-dua belah pihak”.


Tiga atau empat hari sebelum Dewan bersidang, kelima-lima orang ahli PAS yang ditahan di Kuala Lumpur itu dibawa balik ke Kelantan di bawah kawalan yang ketat. Rumah kediaman mereka juga dikawal dengan rapi. Dalam kejadian yang sedemikian gawat, Ustaz AbdulRahman Salleh, iaitu salah seorang yang ditahan di Kuala Lumpur telah mencuri keluar melalui pintu belakang rumahnya kerana ternyata telah dikawal rapi oleh orang-orang yang tertentu. Kejadian itu berlaku selepas sembahyang maghrib. Dengan menumpang kenderaan kawan, beliau terus ke Pasir Puteh, ke rumah sahabatnya Ustas Wan Sulaiman Ibrahim. Kemudian mereka berdua terus berangkat ke Kota Bharu untuk menemui Datuk Haji Ishak Lutfi dan saya sendiri (masa itu berjawatan Menteri Besar)…


“Dalam perjumpaan dengan Ustaz AddulRahman Salleh, beliau telah menceritakan kepada kami berdua hal yang telah berlaku sambil menyatakan hasratnya untuk kembali ke pangkuan PAS. Kerana mengikut katanya beliau telah dipaksa membuat kenyataan di hadapan radio, televisyen dan akhbar di Kuala Lumpur. Pada malam itu juga Ustaz Abdul Rahman Salleh telah menandatangani surat kenyataan untuk diedarkan di dalam Dewan Undangan Negeri esoknya. Maka pada malam itu juga beliau telah dihantar pulang ke rumahnya di Cherang Ruku Semerak, juga melalui pintu belakang tanpa disedari oleh mereka yang diberi tugas mengawal di halaman rumahnya”…


Pada pagi hari sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan itu diadakan, kawasan di hadapan Istana Balai Besar Kota Bharu telah penuh dengan gelombang manusia yang datang dari seluruh pelusuk negeri. Para penyokong UMNO datang bersama sepanduk yang tertulis dengan kalimat bahawa kerajaan Kelantan akan bertukar tangan mulai hari itu. Para penyokong PAS pula datang dengan perasaan dan pandangan berbelah bagi. Antaranya ada golongan yang berasa begitu yakin bahawa Kerajaan PAS Kelantan tidak akan tumbang. Golongan itu ialah daripada kalangan anggota PAS yang sempat mendapat maklumat tentang kejadian yang sebenarnya. Dalam pada itu ada juga golongan yang berasa bimbang bahawa kerajaan PAS akan tumbang; iaitu daripada kalangan mereka yang tinggal di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai kesempatan untuk mendapat penjelasan”…


Manakala tiba saat sidang Dewan Undangan Negeri akan dimulakan, semua ahli dewan serta Speaker mengambil tempat dan seterusnya membuat pengumuman tentang persidangan Dewan, maka pada ketika itu Ustaz Abdul Rahman Salleh pun bangun dari kerusi bahagian pembangkang seterusnya melangkah dan mengambil tempat duduk bersama di pihak kerajaan dan serentak dengan itu surat kenyataan beliau pun diedarkan kepada seluruh para pemerhati dan para hadirin. Setelah selesai membaca doa dan kemudian mengesahkan peringatan mesyuarat Dewan yang lalu, maka Speaker pun terus mengisytiharkan bahawa persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan”…


Apabila Dewan Undangan Negeri ditangguhkan, saya pun terus menemui Ustaz Salahuddin Abdullah pada ketika itu memegang jawatan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Kelantan agar beliau pergi menjemput Encik Omar bin Mohammad dan membawa beliau terus ke rumah saya (rumah rasmi Kerajaan) kerana pada ketika itu seluruh Ahli Dewan Undangan daripada PAS telah bersetuju berkumpul di rumah Menteri Besar. Langkah ini bukan kerana bimbang kena culik lagi, walaupun memang masih ada usaha untuk melakukan sedemikian; tetapi sebenarnya untuk memudahkan sebarang maklumat disampaikan sebelum tiba dari sidang Dewan Undangan Negeri Kelak… dan juga untuk sebarang perbincangan”…


“Setelah Encik Omar berhasil dibawa ke rumah JKR No.10, maka tugas membawa Encik Yusoff Latif[5] pula terpaksa dilakukan, yang merupakan satu tugas yang begitu mencabar. Oleh sebab pada masa itu beliau tinggal di rumah birasnya Nik Mahmud yang kebetulan rumah itu berjiran dengan seorang pegawai tinggi polis dan rumah itu sentiasa dikawal. Maka dengan pertolongan Allah Subhanahu wa Taala Encik Yusof pun berhasil dibawa keluar dari rumah birasnya itu sekalipun terpaksa melalui kawalan yang ketat”…


“Petang itu juga tiga orang wakil rakyat daripada PAS telah membuat pengisytiharan di hadapan wakil televisyen dan akhbar bahawa mereka sebenarnya masih tetap ahli PAS dan tidak jadi menyertai UMNO. Mereka ialah Ustaz Abdul Rahman Salleh, Encik Omar bin Muhammad dan Encik Yusof Latif. Manakala dua orang lagi, iaitu Encik Abdullah Yusoff (Speaker DUN) dan Encik Saufi Idris masih tetap dalam UMNO. Memanglah terlalu berat bagi mereka berdua ini untuk berpusing ke belakang kembali kerana penglibatan mereka dalam usaha menarik kawan-kawan lain daripada PAS telah begitu jauh mendalam, maka kekallah mereka dalam UMNO”…


Itulah antara fakta sejarah penting sepanjang perjuangan PAS yang dicatit oleh Dato` Mohd.Asri. Peristiwa ini juga ditulis oleh penulis sendiri bersama Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus dalam majalah Siaran PAS Kelantan[6].

[1] Penulis diamanahkan sebagai pengarang dan penerbit majalah ini.

[2] Bil.12 Tahun Pertama, Julai/Ogos 1968.

[3] 3hb.Ogos 1968.

[4] Memoir Asri Meniti Arus, hlm 73, 74, 75.

[5] Penulis diamanahkan menjemput Encik Yusof Latif.

[6] Siaran PAS Kelantan, bil.9 jilid iii, 1968 dibawa tajuk Kata dan Peristiwa mulai halaman 7,8,9 dan 11.

Friday, February 6, 2009

RAJA LAWAK part II

buang 'E' = PRAK = PAKATAN RAKYAT

hmmm......

Salinan Surat MB Perak kepada Sultan Azlan Shah

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah
Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampun Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa’kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampun Tuanku,

MERAFA’ SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa’ sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVI(6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa “If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”. Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahawa ADUN bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi ADUN. YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga ADUN berkenaan bukannya ADUN untuk kawasan-kawasan tersebut di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan Mahkamah dalam kes tersebut.

Ampun Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaan Patik dengan ini merafa’ sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampun Tuanku,

Patik dengan ini merafa’ sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta Patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya;
Bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato’ Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Thursday, February 5, 2009

teman-teman

ku ketuk pintu
mencari teman-teman
ada musuh menanti mu
aku ketuk pintu berkali-kali
dimana teman-teman
ada rasa cemburu irihati

kuketuk berulang kali
pintu itu masih berkunci
senyap sunyi
tapi aku tahu ada teman-teman
di dalam menyembunyikan diri

ku ketuk ku tepuk lagi
duk duk duk
ada terdengar suara teman-teman berbisik-bisik halus

aku berputus asa
lantas ku tinggalkan teman-teman ku tadi
dengan seribu satu cerita

selamat berjaya teman-temanku
aku bukan sempurna
untuk memenuhi semua hati yg terasa

Search This Blog