Thursday, December 31, 2015

selamat tinggal 2015









Wednesday, December 2, 2015

yus jambu dalam kenangan




Siapa yang mampu melawan takdir dan janji Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang bernyawa, yang hidup pasti akan mati.

Malam kelmarin, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelawak popular, Allahyarham Yussry Edoo, 39, atau lebih dikenali dengan nama Pak Yus Jambu yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang (HS) jam 12 tengah malam.
Tiada siapa juga menyangka program final Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam kelmarin adalah pentas akhir Yus membuat persembahan.

Dalam program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, Yus bersama kumpulan muziknya, Lima Bara tampil sebagai artis jemputan dan menyanyikan tiga lagu.
Pemain dram Lima Bara, Norazhar Buyong atau Pak Cu berkata, ketika membuat persembahan Yus yang juga penyanyi kumpulan itu agak agresif.

“Dia melompat-lompat dan sesekali dia duduk di atas ‘bass drum’ di depan saya. Sebaik persembahan selesai, Yus hilang dan kemudian saya dapati dia sudah berada dalam kereta.
“Ketika itu dia duduk bersandar tanpa berbaju. Dia kelihatan penat, tetapi tetap bersembang dengan kami seperti biasa,” kata Pak Cu yang juga anggota kumpulan XN3 dalam program Maharaja Lawak pada 2011.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang Yus tiba-tiba mengalami sesak nafas dan pengsan. Turut berada dalam kereta berkenaan ialah dua bekas peserta Maharaja Lawak iaitu Jon daripada kumpulan Ekzos dan Mie (kumpulan Shake).
Yus yang dikejarkan ke HS bagaimanapun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.
Difahamkan, Yus menghidap kencing manis dan darah tinggi selain turut mengalami masalah jantung.
Dalam satu temu bual bersama media tidak berapa lama dulu, Yus yang masih bujang pernah mendedahkan dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung dan kolesterol terlalu tinggi.
Selain itu, Yus juga pernah memaklumkan dia sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinannya tahun depan, namun tidak pernah mendedahkan siapa tunangnya.
Bakat seni kelahiran Kangar, Perlis itu mula digilap melalui lakonan dalam teater.
Yus yang juga anak bongsu daripada tiga beradik mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kangar.
Pada 2001 dia mencuba nasib dengan menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan di TV3 namun kehadirannya dalam arena seni ketika itu tidak menyerlah.
Bagaimanapun, enam tahun kemudian dia mula dikenali apabila muncul juara musim pertama Raja Lawak pada 2007. Dalam program terbitan Astro itu, Yus menewaskan Zizan Razak, Johan dan Tauke & Angah.
Menerusi pertandingan yang diundi peminat secara SMS itu, Yus menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan sebuah kereta antik TD 2000.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian Yus menjual kereta kemenangan itu kepada seorang individu di Ipoh kerana kesempitan wang akibat tiada tawaran selepas menjuarai Raja Lawak.
Pada 2011, bakatnya kembali bersinar apabila dia bergandingan dengan Tauke dalam Maharaja Lawak 2011 dengan membentuk kumpulan Jambu dan layak ke pentas akhir sebelum diumumkan sebagai pemenang tempat keempat.
Selepas itu bintangnya terus bersinar dalam industri hiburan tanah air sebagai pelakon, pelawak dan pengacara.

Bersama Jambu, nama Yus terus kukuh terutama sebagai pelawak. Dalam musim kedua Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2011, Jambu muncul naib juara selepas tewas di tangan Jozan.
Mereka juga menduduki tempat keempat dalam final musim ketiga MLM pada 2013.
Selain itu, Yus juga menyerlah dalam program Super Spontan sejak musim pertama pada 2012. Walaupun tidak muncul juara, Yus layak ke akhir untuk dua musim berturut-turut pada 2013 dan tahun lalu.

Terbaru, Yus menduduki tempat keempat dalam final Super Spontan All Stars, Oktober lalu.
Sebagai pelawak, Yus terkenal dengan lawak selambanya. Bagi peminat MLM, tentu masih ingat bagaimana dia ‘mengenakan’ juri tetap Datuk Yusof Haslam dengan secara spontan melabelkan penerbit filem terkenal itu sebagai pemandunya.



Antara lawak Yus paling meninggalkan kesan kepada peminat dan penonton ialah kata-katanya seperti Boleh Tuju Lagu? Nak Kicap? Cike Cike Kemaruwei, Yaya Toure Manchester City Rawang, Punchline Ada Di Mana-Mana, Di Kokdiang dan Di Jeniang.

Selain itu, Yus aktif sebagai pelakon dan terbabit dalam beberapa filem antaranya Hantu Bonceng, Abuya, Apa Celop Toqq, Ngorat, Pe3, Sepah The Movie, Gangster Celop, KL Zombi, Laga, Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Cicakman 3.

Ini termasuk dalam telefilem dan drama antaranya Sepi Angin Ke Kota London, Taqarrub, Cinta Madinah, Lawaking, Dendam, Dosa dan Doa, Amit, Hanya Tuhan Yang Tahu,Gerabak, LawaKing, Nurul Iman, Anak Mami Mek Ani, Carca-Marba, Tiga Budak Botak, Jejaka J, Karoot Komedia, Raya Nora Jambum, Tukang Jahit Tak Beraya, Ustaz Ku Takut Kau Datang, Simpul Raya dan Member Superstar Nak Balik Beraya.

Di pentas teater dia pernah muncul dalam teater Kalut, Sofea, Hiroshima, Sri Mersing, Satria Menara Putih, Laksamana Cheng Ho, Lawak SuperHero, Lawak Ke Der 3 dan Lawak Utagha.
Program terbaru yang tidak sempat ‘dihabiskannya’ ialah Juara Parodi yang ditayangkan setiap Jumaat di Astro bergandingan dengan Tauke dan Misha Omar.
Jenazah Yus dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Iman, Kampung Nesam dekat Bintong, Perlis selepas solat Zuhur semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 8:26 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97032#sthash.z8ZlVdrf.dpuf

Search This Blog