Friday, October 24, 2008

Samad Lefthanded meninggal


KUALA LUMPUR: Pemain gitar kumpulan rock terkenal Lefthanded, Abdul Samad Mian atau Samad, 45, meninggal dunia selepas terjatuh di pejabatnya di Ampang, di sini, tengah hari semalam.

Isteri Allahyarham, Norliza Sumari, 41, ketika dihubungi berkata, arwah pengsan ketika di pejabatnya jam 12 tengah hari lalu diberi bantuan pernafasan oleh anak sulung mereka, Alif Ashraf Shafiq, 18.

“Arwah sekali lagi tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Ampang, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Samad disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 1.05 tengah hari.

“Pemergiannya mengejutkan kami kerana arwah tidak menghidap sebarang penyakit,” kata Norliza.

Selain Alif Ashraf, Samad yang dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 26 September 1963 turut meninggalkan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Ayunda Syakim, 17; Alis Suhayana, 15; dan Ahmad Syafri, 6.

Arwah menceburi bidang seni bersama Lefthanded pada usia 20 tahun dan menghasilkan album seperti Keadilan (1986), Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme & Ramli Sarip (1990) dan Nafas (1996).

Arwah turut menerbitkan album Syurga dan Neraka untuk kumpulan itu.

Bagaimanapun, selepas Lefthanded tidak lagi aktif, arwah meneruskan kerjaya solo dan menghasilkan beberapa album termasuk terbaru, Guitar Jamming yang dipasarkan Jun lalu. Album Samad pernah memenangi kategori Album Solo Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1995.

Nama Samad juga popular peringkat antarabangsa apabila bekerjasama menghasilkan album kompilasi membabitkan pemuzik seperti Allan Hordsworth, Marc Bonila, Paul Gilbert dan Akira Tagasaki yang diterbitkan di Jepun pada 1997.

Selain bermain muzik, arwah pernah menjadi pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak empat tahun lalu.

No comments:

Search This Blog