Thursday, January 29, 2009

‘Itu Fitnah’ - Dr Halimah Ali


Wednesday, 28 January 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 28 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan dalam forum sebuah laman web kononnya beliau telah ditangkap khalwat.

Dr Halimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang menyifatkan perkara itu tidak benar dan satu fitnah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu, malah perkara tersebut juga telah disangkal oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di mana tiada serbuan dibuat Jais sebagaimana yang dilaporkan laman web terbabit,” katanya ketika ditemui di pejabat Menteri Besar di sini, petang tadi.

Sehubungan itu, Dr Halimah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang petang semalam.

Beliau berkata dakwaan palsu itu disebarkan dalam laman web My Kmu.net oleh Jamilisa yang menggunakan nama ‘Brigade Commander Selangor’ dengan tajuk Kecoh, Adun Selat Klang kena tangkap.

Jamilisa dalam ruangan forum pada 25 Jan itu mendakwa beliau dimaklumkan rakannya dari Kampung Idaman yang Adun Selat Klang itu ditangkap basah di sebuah hotel di sekitar Pelabuhan Klang.

Menepis dakwaan itu, Dr Halimah berkata tuduhan itu tidak masuk akal selain menjatuhkan maruahnya sebagai wanita, wakil rakyat dan juga Exco kerajaan negeri Selangor.

“Saya adalah wakil rakyat Pas, sudah tentulah yang saya dokong ini adalah Islam dan sebagai Exco Pembangunan Modal Insan sudah tentulah kita hendak memerangi perkara mungkar dan maksiat ini.

“Bagaimana pula saya boleh terjebak dalam perkara yang mungkar dan maksiat. Tuduhan itu juga sama sekali tidak berasas sedangkan pada masa yang dinyatakan itu saya berada di Bukit Kuching, Kuala Selangor kerana diundang menghadiri Program Forum Perdana sebagai ahli panel,” katanya yang jelas kesal dengan tuduhan itu.

Sehubungan itu, Dr Halimah berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pemilik, penulis blog dan ‘Brigade Selangor’ dengan segera mengikut Seksyen 509 / 298 Kanun Keseksaan.

“Saya berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghalang penyebaran berita palsu atau fitnah seperti ini yang jelas menjatuhkan maruah mereka yang tidak bersalah,” katanya. - MURIZA ABDUL HAMID

No comments:

Search This Blog