Secara sedar ataupun tidak blog ini telah melalui beberapa peristiwa dan sejarahnya yang telah tercatit. Begitu mudah menoleh semula meninjau ke masa silam hanya sekadar klik pada arkib blog untuk mengetahui dan mengingatkan kembali kenangan dan peristiwa yang pernah dilalui tetapi telah ditinggalkan menjadi kenangan.
Harapan begitu banyak menggunung dan tersimpan dalam angan-angan yang senantiasa menghantui perjalanan hidup. Semuanya tertumpu bagaimana untuk meningkatkan ekonomi, akal senantiasa berpusing-pusing memerah otak yang kadangkala menjadi lembab dan lemah kerana masih buntu mencari jawapan. Sedangkan masa senantiasa berdetik kehadapan bersama-sama dengan angan-angan yang masih terawang-awang.
Arah tujuan kadangkala berubah tidak konsisten terbawa-bawa senario semasa dan keadaan ekonomi yang semakin memberi tekanan jiwa dan perasaan. Satu ketika kononnya mencari ilmu untuk menjadi yang terbaik dan belajar tetapi sampai bila, sedangkan ilmu kekayaan dunia masih tersimpan jauh didalam angan-angan.
Hijrah datang disusuli tahun masihi, bagaikan begitu mudah masa yang berlalu tanpa sebarang pergerakan didunia yang nyata. Masih seperti arkib dahulu tidak berubah, sedangkan yang dikejar semakin jauh tetapi bebanan dan tekanan lain pula semakin menghimpit. Dunia dikejar, dibelakang pula dunia lain seiring bahkan tanda-tanda putih mulai melata memadami kehitaman perhiasan dikepala.
No comments:
Post a Comment